Tuesday, January 4, 2011

Azam dan tekad

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, sujud dan syukur atas segala nikmat dan kurnian Nya Yang Maha Kuasa.

Tahun 2011 telah masuk hari ke 4, sudah pasti kita semua meniti hari demi hari dengan penuh keazaman dan tekad baru atau masih lagi terngiang-ngiang sambutan tahun baru yang disambut baru-baru ini.

Setiap kita diamanahkan Allah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hambaNya. Amanah ini sudah lama dipikul sejak nabi Adam a.s dan sehinggalah kiamat. Manusia diciptakan Allah SWT sebagai khalifah memakmurkan muka bumi ini dengan pelbagai cara dan susun atur yang unik dan hebat.

Seharian kita diamanahkan untuk mengisi 24 jam yang ada dengan urusan dunia dan akhirat. Untuk menjadikan setiap kerja yang kita lakukan sebagai ibadah kepada Allah dan diberi ganjaran yang setimpal maka 2 perkara utama : iaitu Niat yang ikhlas kerana Allah dan segala amalan kita mengikut landasan yang ditetapkan oleh nabi Muhammad SAW.

Tidak kira pekerjaan apa yang kita lakukan maka dua syarat di atas perlu dipatuhi. Sudah pasti kita mahukan rezeqi yang halal dan sumber yang halal serta pekerjaan tersebut mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Selangkah kita meninggalkan rumah dengan niat untuk mencari rezeqi kerana Allah, maka setiap langkah akan diberi ganjaran pahala di samping doa kepada Allah agar kita selamat di dalam perjalanan pergi dan pulang.

Kita kadang-kadang terlupa berdoa, kita tahu peranan doa dan kesannya, tetapi atas faktor lupa dan sibuk dengan hal yang lain kita tidak berdoa setiap kali kita melangkah keluar dari rumah.

Doa memang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam setiap urusan yang kita lakukan. Sehingga nabi menyatakan bahawa doa adalah sebagai otak ibadah. Bermaksud pentingnya doa di dalam ibadah seharian kita.

Kita hanya berdoa setiap kali lepas solat sahaja, tetapi doa adalah bila-bila masa tidak kira tempat dan ketika. Doa sama ada secara nyata atau di dalam hati mengikut kesesuaian. Kita akan dapat rasakan kesan doa sekiranya kita betul-betul ikhlas dan mengharapkan tiada lain selain Allah SWT. Banyak peristiwa yang kita boleh ambil iktibar sama ada di dalam Al quran dan hadis nabi, bagaimana baginda dan para anbiya' serta sahabat berdoa dalam pelbagai situasi.

Di dalam pekerjaan yang kita lakukan, tidak kira jawatan apakah yang kita sandang, mesti kita jadikannya sebagai satu ibadah.

Ibadah umum adalah termasuk di dalam semua aspek kehidupan kita seharian termasuk kerja yang kita lakukan. Ibadah khusus adalah yang telah terkandung di dalam rukun islam yang kita yakini dengan syarat-syaratnya tersendiri.

Insya allah setiap amalan kita akan sentiasa mendapat limpahan rahmat Ilahi...aamin

No comments: